Transaksi tanpa tunai
“DALAM dompet ada RM20, tapi banyak benda nak kena beli, duit tak cukuplah. Nak cucuk duit, kena cari ATM pulak!”
Situasi tersebut mungkin dialami oleh kebanyakan daripada pengguna ketika berada di saat-saat memerlukan tunai untuk melakukan pelbagai urusan.
Tetapi, biarpun hanya mempunyai RM20 sahaja ketika itu, pengguna masih boleh membeli dengan adanya teknologi tanpa tunai ketika ini.
Hanya gunakan kad prabayar, kad kredit, kad debit atau telefon pintar, pengguna kini boleh melakukan sebarang transaksi dan pembelian.
Kemudahan teknologi digital yang disediakan oleh kebanyakan premis termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ketika ini, nyata memudahkan pengguna membuat bayaran dan pembelian walau di mana berada.
Ramai peniaga mula menyediakan kemudahan dompet digital di premis perniagaan masing-masing dan menerima sambutan baik daripada pelanggan.
Usaha itu selaras dengan visi Bank Negara Malaysia (BNM) ke arah mewujudkan masyarakat tanpa tunai mulai 2020.
Untuk merealisasikan hasrat itu juga, BNM mengambil pelbagai langkah dalam meningkatkan platform e-pembayaran, sekali gus menggerakkan negara ke arah masyarakat tanpa tunai.
Berkuat kuasa 1 Julai 2018, bayaran Pemindahan Segera sebanyak 50 sen, akan dimansuhkan bagi pemindahan sehingga RM5,000 setiap transaksi oleh individu dan PKS.
Bayaran cek bagaimanapun akan dinaikkan daripada 50 sen kepada RM1, bermula 2 Januari 2021 bagi menunjukkan kos pemprosesannya yang lebih tinggi.
Teknologi pembayaran kini yang lebih maju, berskala dan berkos rendah, turut memberi manfaat kepada peniaga secara langsung, memandangkan kos operasi mereka dapat diturunkan menerusi Quick Response (Kod QR).
Comments
Post a Comment